world-malaria-day-2019-sm-card-woman-with-net

Hari Malaria Sedunia adalah salah satu daripada sambutan Hari Kesihatan Awam Sedunia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Sambutan Hari Malaria Sedunia disambut pada 25 April setiap tahun bagi mengiktiraf usaha global dalam mengawal penyakit Malaria. Tema sambutan pada tahun 2019 adalah ‘Sifar Malaria Bermula Dengan Kita’. Tema ini dalam konteks Malaysia merupakan satu ikrar atau akujanji yang menggambarkan komitmen dan penglibatan semua lapisan masyarakat di negara ini dalam inisiatif ke arah eliminasi malaria iaitu “Sifar Malaria manusia jangkitan tempatan (human indigenous malaria)” di Malaysia menjelang tahun 2020.

Pada tahun ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan menganjurkan majlis sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 bertempat di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES), Paroi, Negeri Sembilan pada 4 Mei 2019 yang dirasmikan oleh YB Tuan Veerapan A/L Superamaniam, Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan.

Objektif utama sambutan di peringkat kebangsaan pada tahun ini adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat di Malaysia untuk terus melaksanakan tindakan pencegahan untuk malaria dan mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala malaria. Pada masa yang sama, KKM berusaha mempersiapkan pasukan kesihatan di semua peringkat bagi menghadapi proses audit pensijilan eliminasi malaria oleh pihak WHO.

Inisiatif Program Eliminasi Malaria di Malaysia telah menunjukkan kejayaan di mana jumlah kes Malaria manusia jangkitan tempatan di negara ini telah berjaya dikurangkan daripada 4,164 kes pada tahun 2011 kepada sifar kes pada tahun 2018. Sehubungan itu, Malaysia kini berada pada landasan yang betul menuju kepada sasaran eliminasi iaitu sifar Malaria manusia jangkitan tempatan menjelang tahun 2020 seperti yang ditetapkan oleh WHO.

Infografik Malaria

Bagi memastikan Malaysia mencapai sasaran eliminasi dan mendapat  pensijilan pengiktirafan daripada WHO, Malaysia perlu mengekalkan status sifar Malaria manusia jangkitan tempatan untuk tiga tahun berturut-turut. Malaysia adalah salah sebuah negara yang mempunyai sistem kesihatan yang terbaik di dunia dan berupaya untuk mengekang kemasukan semula kes malaria ke negara ini. Kementerian Kesihatan memerlukan penglibatan dan kerjasama semua pihak terutamanya pihak industri yang berkaitan seperti sektor perladangan, perhutanan, pertanian, kawalan keselamatan dan rekreasi hutan bagi memastikan perlindungan diberikan kepada para pekerja daripada jangkitan malaria. Antara tindakan yang boleh diambil oleh pihak swasta atau majikan ialah seperti membekalkan kelambu berubat atau ubat pencegahan jangkitan malaria kepada para pekerja mereka. KKM berharap pihak industri dapat memastikan semua pekerja asing melalui pemeriksaan perubatan termasuk saringan malaria mengikut polisi yang ditetapkan oleh kerajaan. Pada masa yang sama, pihak industri juga perlu menyediakan atau mempermudahkan akses kepada perkhidmatan kesihatan kepada pekerja masing-masing yang mengalami gejala malaria.

Individu yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti berisiko di hutan seperti memburu, menjalani aktiviti rekreasi atau melakukan pembukaan tanah baru untuk pertanian perlu mengambil langkah-langkah pencegahan, seperti memakai pakaian yang dapat melindungi keseluruhan badan dari gigitan nyamuk dan menggunakan ubat penghalau nyamuk (repellent). Bagi penduduk yang perlu bekerja di negara yang bermasalah malaria atau bekerja di kawasan hutan untuk jangkamasa yang panjang perlu mendapatkan nasihat daripada Pejabat Kesihatan terdekat berkenaan langkah pencegahan yang bersesuaian.

Sempena Sambutan Hari Malaria Sedunia, KKM berharap dapat menggembeling kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan sasaran SIFAR Malaria manusia jangkitan tempatan (Human Malaria Indigenous) dapat direaliasasikan menjelang tahun 2020 kerana “Sifar Malaria Bermula Dengan Kita”.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan

Kementerian Kesihatan Malaysia

4 Mei 2019

AKTIVITI TERKINI

Last month April 2024 Next month
A I S R K J S
week 14 1 2 3 4 5 6
week 15 7 8 9 10 11 12 13
week 16 14 15 16 17 18 19 20
week 17 21 22 23 24 25 26 27
week 18 28 29 30